CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday, December 23, 2011

Bersyukurlah anda bergelar pendidik

Teringat dengan kata-kata seorang sahabat kat status FBnya:

"Saya ulang ye, saya kerja kerana Allah saya... jadi,semua tugasan saya, rezeki saya,hasil saya semuanya datang daripada Allah. Saya bukan kerja sebab mahukan murid dapat prestasi tinggi dan dapat pendapatan tinggi. Kemenjadian murid saya adalah modal insan di sisi Allah. Selebihnya, Allah tentukan. Sekian, harap maklum... :)"


Kadang-kadang, sangat susah kita nak buat orang faham..yang bila kita melakukan tugas itu, kita lakukan dengan ikhlas kerana Allah. Sebab apabila kita diamanahkan sesuatu, kita mesti melaksanakan dengan tekun.


Orang yang diamanahkan, tetapi tidak melaksanakan malah mengkhianatinya adalah ciri-ciri orang munafik. Munafik boleh merosakkan iman. Na'uzubillahimin dzalik.


Atas kesedaran inilah, setiap amanah yang diberikan kepada saya, saya cuba laksanakan dengan sebaik mungkin dan sedaya yang termampu. Semoga Allah berikan saya dan keluarga dengan kesihatan yang baik.


Tapi, tidak ramai yang memahami konsep ikhlas bekerja kerana Allah. Ada segelintir menganggap, bila kita bekerja dengan tekun, kita nak rebut APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) atau nak dapatkan markah LNPT yang tinggi, atau nak mengambil hati boss.


Saya sebenarnya langsung tidak kisah dengan semua itu. Sebab itu, semasa di sekolah lama, sama tidak pernah ambil tahu markah LNPT saya dan apabila rakan-rakan guru dapat APC, saya tumpang gembira untuk rezeki yang Allah kurniakan. Malah, rakan-rakan yang dapat APC ini bermurah hati menaja makanan kami pada sambutan hari guru setiap tahun. Jadi kenapa masih ada yang nak berasa iri hati dan berdengki..kerana akan tiba juga rezeki anda.


Saya cuma tahu markah LNPT saya setelah saya berada di sekolah baru, itupun sebab bila cukup tempoh perkhidmatan saya mengisi borang untuk memohon kenaikan ke DG44. Jika memang sudah rezeki saya, dapatlah saya kenaikan tersebut. Tapi jika masih bukan rezeki saya, saya pasrah..kerana Allah mungkin merancang yang TERBAIK untuk kita.


Saya memang suka menjadi guru, dan saya tak boleh bayangkan saya memilih kerjaya selain guru.

Saya pernah tinggal di wad HKL dan HUS Sarawak kerana sakit yang sama..

Masa berada di wad lah banyak memberi kesedaran kepada saya, betapa untungnya saya bergelar guru. Saya tidak dapat bayangkan diri saya seorang doktor dan nurse yang hari-hari terpaksa berdepan dengan muka-muka yang tidak ceria, wajah-wajah yang berduka dan bersedih kerana menahan sakit atau bakal menemui ajal. Betapa sabar dan tabahnya mereka. Tekanan yang mereka hadapi lebih hebat lagi dari berdepan dengan seorang pelajar nakal atau pelajar malas...atau pelajar yang lembam dalam kelas. Syukur ya Allah kerana memilih Aku dalam kerjaya ini.


Jadi para guru, bersyukurlah anda adalah seorang guru...didiklah anak-anak ini dengan jiwa. Bak kata pengetua.. Mendidik dengan jiwa amat berbeza bila seorang guru mendidik dengan hati. Maksud sila fikirlah sendiri ye.


Sekian, terima kasih kerana sudi membaca.